3 Disember 2025, Pulau Carey – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Teknologi Penuaian Sawit pada 2 Disember 2025 di Golden Hope Academy, SD Guthrie Berhad, Pulau Carey, Selangor. Bengkel ini dihadiri oleh wakil-wakil Kementerian serta agensi Kerajaan seperti Cradle Fund Sdn. Bhd., Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP) dan Malaysian Palm Oil Board (MPOB) manakala syarikat-syarikat perladangan industri sawit yang turut menyertai, antaranya adalah IOI Corporation Berhad (IOI Group), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., TH Plantations Berhad, FGV Holdings Berhad dan syarikat-syarikat pemula teknologi bagi menilai kemajuan teknologi semasa, memahami keperluan industri dengan lebih mendalam serta meneroka pendekatan baharu yang lebih berkesan.
Perbincangan turut diperkukuhkan dengan pembentangan teknikal dan demonstrasi oleh empat syarikat pemula daripada Program MyHackathon dan INNOVATHON yang mempamerkan inovasi tempatan dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti penuaian sawit, iaitu MEKASA yang dibangunkan oleh Mandrossa Sdn. Bhd., BEIMAGER yang merupakan hasil inovasi BeyondVISIBLE Sdn. Bhd., Smart Palm Sickle V2 yang dihasilkan oleh Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, serta Langur The Harvester yang dicipta oleh Monkey Robotics Sdn. Bhd.
Sesi bengkel ini turut dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat pemula pembangun teknologi untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada Kementerian serta MARCOP berhubung fasilitasi dan peluang pembiayaan melalui geran dan tabung cess, bagi meningkatkan keupayaan serta skala teknologi yang telah dibangunkan dan dipamerkan demi memenuhi keperluan industri sawit.
Wakil industri seperti Sarawak Plantation Berhad (SPB) dan SD Guthrie Agro Tech Sdn. Bhd. turut membentangkan inovasi serta aplikasi teknologi mekanisasi penuaian sawit di ladang masing-masing. Di samping itu, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan turut memberikan taklimat mengenai Teknologi Bateri Berkecekapan Tinggi dan Berdaya Tahan yang berpotensi menyokong prestasi serta ketahanan peralatan mekanisasi dalam sektor perladangan sawit.
Hasil dapatan bengkel dan demonstrasi inovasi yang dibentangkan akan digunakan untuk merangka tindakan susulan yang lebih bersasar, khususnya oleh KPK, MOSTI dan agensi-agensi terlibat, selari dengan mandat dan keutamaan yang digariskan dalam RMK13, sekali gus memperkukuh pembangunan teknologi penuaian sawit yang lebih efisien, produktif dan mampan.




