Skip to main content
News

Kunjungan Hormat MOSTI ke atas YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak

27 Januari 2026, Perak – YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YB Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik dalam memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Negeri Perak serta menjadi platform penting untuk menyelaraskan sinergi antara MOSTI dan Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan ekosistem STI dengan fokus kepada aktiviti pembudayaan yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Perak.
Antara perkara yang dibincangkan adalah penyelarasan program pembudayaan STI melalui Jabatan Kimia Perak dan Jabatan Tenaga Atom selaras dengan Agenda Negeri “Perak Sejahtera 2030”, dengan Kerajaan Negeri Perak menyambut baik dan bersedia memberikan kerjasama penuh terhadap cadangan program MOSTI. YBhg. Dato’ TKSU juga memaklumkan pelaksanaan program seperti STI100³, STEM Camp, STI MADANI dan Malaysia Techlympics yang telah dilaksanakan serta melibatkan penyertaan dari Negeri Perak. Isu pencemaran air turut dibincangkan dengan menekankan peranan Jabatan Kimia Perak sebagai penyedia analisis teknikal manakala Jabatan Tenaga Atom menumpukan kepada kepakaran teknikal dan pemantauan keselamatan nuklear bagi menyokong operasi selamat sektor berteknologi tinggi di negeri ini.
YBrs. Encik Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah MASTIC MOSTI juga telah membentangkan pencapaian Malaysian Innovation Index (MII) bagi Negeri Perak yang mana negeri ini mencatat skor tertinggi dalam sektor infrastruktur. Pencapaian ini membuktikan kesediaan Negeri Perak untuk mengintegrasikan teknologi dan inovasi secara lebih meluas. Antara syor tindakan adalah memanfaatkan kelebihan logistik dan infrastruktur digital untuk memacu sektor pembuatan pintar (smart manufacturing) serta menangani kekurangan syarikat pemula teknologi di negeri tersebut.
Kerajaan Negeri Perak juga menyatakan hasrat untuk menerokai potensi penjanaan tenaga berasaskan nuklear sebagai alternatif sumber tenaga masa hadapan. MOSTI mencadangkan agar perbincangan lanjut diadakan dengan PETRA, manakala Jabatan Tenaga Atom bersedia menyalurkan kepakaran dari aspek kawal selia, penilaian teknikal serta jaminan keselamatan radiasi bagi menyokong inisiatif tersebut.
Selain itu, Kerajaan Negeri Perak mencadangkan perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan program dan pembangunan teknologi bagi mengenal pasti langkah seterusnya, serta bersedia mengadakan sesi susulan untuk memperhalusi lebih lanjut kerjasama strategik antara MOSTI dan Kerajaan Negeri Perak.
Skip to content