26 Januari 2026, Perlis – YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Tuan Wan Zikri Afthar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Belia & Sukan, Komunikasi & Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi & Inovasi), di pejabat beliau hari ini.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan cadangan kerjasama strategik antara MOSTI dan Kerajaan Negeri Perlis dalam aspek pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) selain memperkenalkan inisiatif, program dan perkhidmatan pembudayaan STI yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh MOSTI.
Kerajaan Negeri Perlis menyatakan sokongan penuh terhadap usaha MOSTI dan amat mengalu-alukan pelaksanaan program pembudayaan STI di negeri tersebut. Dalam sesi itu, YBhg. Dato’ TKSU turut berkongsi pelaksanaan beberapa program pembudayaan yang mendapat penyertaan aktif masyarakat Perlis seperti Program STI100³, STEM Camp, STI MADANI dan Malaysia Techlympics.
Selain itu, YBrs. En. Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah MASTIC MOSTI telah membentangkan pencapaian Malaysia Innovation Index (MII) bagi Negeri Perlis. Laporan tersebut menunjukkan bahawa Perlis mencatat pencapaian tertinggi dalam sektor Pembangunan Modal Insan yang menggambarkan kekuatan negeri dalam aspek pendidikan, kemahiran serta penerapan STI dalam komuniti.
Hasil perbincangan juga turut menyentuh beberapa cadangan utama antaranya kerjasama strategik sebagai pemacu baharu ekosistem inovasi negeri. Kerajaan Negeri Perlis juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama bagi penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2026 selain menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan susulan bagi memperhalusi kerjasama strategik MOSTI–Kerajaan Negeri.
MOSTI pada masa yang sama menyatakan komitmen untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan Pusat Sains Mini, Ruang Daya Cipta (RDC) dan Pusat Inovasi di Perlis selaras dengan agenda memperkukuh pembudayaan STI di seluruh negara.




