Skip to main content
News

Majlis Perasmian Pejabat Baharu Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)

11 Februari 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Baharu Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang berlangsung di Menara Ochre @ Alamanda, Putrajaya. Majlis ini turut diadakan bagi meraikan perpindahan rasmi tenaga kerja MBOT ke pejabat baharu yang lebih kondusif dan strategik.
Sejak penubuhannya, MBOT telah beroperasi di Ayer@8, Putrajaya dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. MBOT kemudiannya mengembangkan operasinya melalui pembukaan pejabat satelit di Futurise, Cyberjaya sebelum menyatukan seluruh tenaga kerja di dua unit berasingan di Ayer@8, Putrajaya. Pembukaan pejabat baharu ini menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh peranan MBOT sebagai badan profesional yang mengawal selia serta memperkasa teknologis dan juruteknik negara.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, MOSTI melalui MBOT terus komited dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Usaha ini dilaksanakan menerusi pembangunan profesional berterusan (CPD), pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengiktirafan laluan kerjaya teknologis dan juruteknik.
Majlis perasmian ini turut dihadiri YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI;YBhg. Professor Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Presiden MBOT; YBrs. Dr. Md Fauzi Md Ismail, Pendaftar MBOT, barisan pengurusan tertinggi MBOT, pegawai kanan MOSTI serta wakil-wakil industri.
Skip to content