6 Disember 2025 – Institut Kimia Malaysia terus mengiktiraf ahli kimia cemerlang melalui Malam Gala ini sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memajukan bidang kimia dan pembangunan negara. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk ChM Dr Soon Ting Kueh, Yang Dipertua Institut Kimia Malaysia, YBrs. Puan Marhayani binti Md Saad, Ketua Pengarah, Jabatan Kimia Malaysia merangkap Pendaftar Institut Kimia Malaysia serta ahli Majlis IKM.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Seri KSU menegaskan bahawa Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) merupakan pemboleh daya utama memacu pertumbuhan ekonomi, selaras dengan DSTIN 2021–2030 yang memperkenalkan konsep STIE sebagai asas pembangunan mampan. Usaha ini diperkukuh melalui Rangka Kerja 10-10 MySTIE serta enam teras Pelan Tindakan DSTIN termasuk tadbir urus responsif, pembangunan teknologi, bakat adaptif dan pembudayaan STIE.
Memperkukuhkan STIE memerlukan penyelarasan dan pembangunan merentas disiplin sains dan teknologi bagi memastikan pelaksanaan berkesan serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan. Bidang kimia pula menjadi nadi RMK13 melalui peranan IKM dan ahli kimia dalam inisiatif High-Growth High-Value (HGHV), termasuk rantaian semikonduktor, nadir bumi (REE) dan teknologi peralihan tenaga seperti hidrogen dan CCUS. Kerajaan komited menyokong ekosistem R&D&C&I, manakala Malam Kimia terus memainkan peranan penting dalam mengiktiraf kecemerlangan dan memacu kemajuan bidang kimia negara.




