10 Januari 2026, Klang – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangsaan Telok Gadong menerusi Program Sekolah Angkat MADANI MOSTI yang memberi tumpuan kepada pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), pengukuhan kurikulum STEM, literasi digital, penambahbaikan prasarana sekolah serta pemerkasaan profesionalisme guru.
Perkara itu dizahirkan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI sempena Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK Telok Gadong kali ke-49, yang turut menyaksikan penghargaan terhadap perubahan positif hasil sumbangan dan inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi meningkatkan prestasi akademik murid dan kualiti pengajaran guru.
Bagi tahun 2025 hingga 2026, beberapa program utama telah dirancang termasuk pelaksanaan Program STI 100³ Kitaran 2 yang berlangsung dari Disember 2025 hingga Februari 2026 dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini melibatkan Associate Professor Dr. Siti Norasmah Surip dan akan dimulakan dengan Program Eco Initiative STEM STI100 pada 15 Januari 2026, melibatkan seramai 500 murid Tahun 4 dan 5 melalui aktiviti interaktif seperti bahan boleh diperbaharui, kitar semula, teknologi piezoelektrik, pewarna semula jadi dan penghasilan baja organik.
MOSTI menggalakkan penyertaan pelajar dalam Malaysia Techlympics 2026 yang melibatkan pertandingan berteraskan STI dari peringkat saringan maya hingga kebangsaan dan antarabangsa, dengan program jangkauan ke sekolah bermula Jun 2026.
Di majlis ini juga, Datuk Seri KSU turut menyampaikan sumbangan buku bercorak sains dan teknologi kepada pihak sekolah sebagai bahan rujukan dan bacaan kepada para pelajar. Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI.




