Skip to main content
News

Peluncuran Skim Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) 2.0 – Memangkin Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Berimpak Tinggi

11 Februari 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah melancarkan Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) 2.0 yang bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan, penskalaan dan pengkomersialan teknologi tempatan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia.
PEMACU 2.0 adalah kesinambungan pembiayaan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Dana PEMACU 2.0 menawarkan dua (2) skim pembiayaan iaitu Dana Penyelidikan Strategik (SRF) dengan kuantum pembiayaan sehingga RM10 juta dan Dana Pembangunan Teknologi (TED) dengan kuantum pembiayaan sehingga RM4 juta bagi setiap projek. Skim ini memfokuskan kepada projek yang berada pada TRL 4 hingga 7 berdasarkan lima (5) bidang teknologi strategik yang dikenal pasti sebagai keutamaan negara iaitu nuklear, angkasa, bioteknologi, hidrogen dan bahan termaju.
Majlis peluncuran ini turut dihadiri YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI. YBrs. Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, wakil-wakil Kementerian, Pentadbiran Kerajaan Negeri, Panel Penilai Pakar, penyelidik IPT, pihak industri serta tetamu jemputan.
Maklumat lanjut berkenaan Skim Dana PEMACU 2.0 ini boleh diakses melalui portal Sistem Dana Bersepadu (SDB) – https://sdb.mosti.gov.my.
Skip to content