25 Februari 2026 , Kuala Lumpur – YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pewartaan Akta Tenaga Atom 1984 (AKTA 304) di MRANTI Park, Kuala Lumpur.
Sesi ini bertujuan untuk memberi kefahaman serta menekankan kepentingan kesiapsiagaan industri dalam menyesuaikan diri dengan kerangka perlesenan yang baharu serta keperluan pematuhan yang lebih menyeluruh selaras dengan perkembangan sektor tenaga atom negara.
Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304] telah diperkemas dan diperkukuh melalui Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 [Akta A1779] pada 1 Disember 2025 lalu. Pindaan ini memastikan perundangan negara kekal relevan, komprehensif dan selaras dengan piawaian serta amalan terbaik antarabangsa, merangkumi tiga elemen teras iaitu keselamatan (safety), sekuriti (security) dan kawal guna (safeguards).
Sesi libat urus turut melibatkan kerjasama strategik Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) melalui pendekatan World Café, bagi memetakan isu, cabaran serta jangkaan impak yang sedang dan bakal dihadapi oleh pihak industri serta bakal pemegang lesen dalam landskap perlesenan tenaga atom yang baharu.
Sesi libat urus ini merupakan usaha memperkukuh kefahaman dan pelaksanaan akta yang telah diwartakan demi membina ekosistem industri yang lebih mampan dan berdaya saing.
Turut hadir dalam sesi libat urus ini YM Raja Dato’ Dr. Abdul Aziz bin Raja Adnan, Pengerusi Majlis Penasihat Tenaga Atom dan YBrs Puan Hajah Noraishah binti Pungut, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom.




