Skip to main content
News

Majlis Perasmian Pusat Simulasi Tindakbalas Nuklear

9 Mei 2024, Selangor – Pusat Simulasi Tindakbalas Nuklear dirasmikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Atom.
Pembangunan Pusat Simulasi Tindakbalas Nuklear ini bertujuan untuk memperkukuh kompetensi dan kecekapan anggota Pasukan Tindak Balas Nuklear (PTN) Jabatan Tenaga Atom. Pusat ini juga akan diguna pakai sebagai pusat latihan bagi agensi barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain jabatan berkaitan. Pusat Simulasi ini juga akan menjadi pusat latihan bagi melatih Pegawai Perlindungan Sinaran di sektor swasta dan kerajaan serta pelatih-pelatih dari dalam dan luar negara.
Penubuhan Pusat Simulasi ini adalah selari dengan Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana Atom Malaysia bertindak sebagai agensi peneraju bagi kemalangan radiologi dan nuklear.
Menurut YB Tuan Chang Lih Kang, PTN ini akan dapat meningkatkan keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan aktiviti tenaga atom berdasarkan Akta 304 di negara ini seterusnya dapat melindungi pekerja dan orang awam dari risiko sinaran serta dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.
Kerajaan melalui MOSTI dan Atom Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memberikan kelulusan permohonan lesen maksimum tiga (3) tahun kepada semua pemohon yang memenuhi kriteria yang ditetapkan berkuatkuasa mulai Jun 2024. Inisiatif ini diharap akan dapat merancakkan perkembangan industri nuklear dan meningkatkan pelaburan dalam negara di samping menyediakan jaminan pekerjaan yang berterusan kepada rakyat serta dapat menjana hasil atau pendapatan negara dengan lebih cepat.
Sehingga kini jumlah pemegang lesen di bawah Akta 304 bagi sektor industri adalah 1,810 syarikat manakala sektor perubatan adalah 5,164. Jumlah ini dijangka meningkat melalui pelbagai inisiatif menarik yang disediakan oleh Kerajaan.
Skip to content