24 Jun 2024, Korea – Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Office of Strategic R&D Planning (OSP) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) telah berlangsung di ibu pejabat OSP, Seoul, Republik Korea. MIGHT diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Puan Ida Semurni Abdullah Ali, manakala OSP diwakili oleh Presidennya, Chang Woong-Seong.
MOU ini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi ke Korea Selatan yang diketuai oleh YBrs. Puan Ruziah binti Hj Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir ialah Pn Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) dan pegawai kanan dari MOSTI. Kerjasama ini disokong oleh Malaysia Science Endowment (MSE), sebuah inisiatif oleh MOSTI dan ASM untuk mengekalkan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan negara.
Ini akan menjadi instrumen penting dalam memacu aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berteknologi tinggi melalui kemajuan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan lestari. Pengalaman Korea juga berfungsi sebagai penanda aras yang berharga dalam pelbagai elemen pembangunan S&T termasuk pembiayaan R&D dan strategi penyelarasan.