Skip to main content
News

Seminar Foresight dalam Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI)

23 Julai 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) hari ini menganjurkan Seminar Foresight dalam Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dengan tema “Future Ready with Forecast and Foresight”.
Penganjuran seminar ini bertujuan bagi membudayakan keputusan berdasarkan data dan aplikasi foresight dalam gerak kerja Kerajaan, penyediaan medium kolaborasi strategik bersama pemegang taruh dan platform pemindahan pengetahuan terkini mengenai tren analitik data raya dan foresight kepada peserta seminar. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada wakil Kerajaan, swasta, akademia dan 𝘴𝘰𝘶𝘵𝘩-𝘴𝘰𝘶𝘵𝘩 𝘤𝘰𝘶𝘯𝘵𝘳𝘪𝘦𝘴.
Berucap di majlis perasmian, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menekankan akan kepentingan elemen analitik data raya dan aplikasi foresight dalam meneliti pembangunan teknologi baharu seperti Generative AI (GenAI). Dua (2) elemen ini juga dapat membantu Kerajaan dalam merangka polisi yang strategik dengan berasaskan data dan futuristik dengan pembangunan senario masa hadapan.
MOSTI turut menyambut baik kerjasama bersama Korea Institute of Science & Technology Evaluation and Planning (KISTEP) yang merupakan agensi peneraju STI Korea Selatan. Kerjasama bersama KISTEP ini adalah hasil daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ISTIC dan KISTEP yang telah ditandatangani pada tahun 2008.
MOSTI akan sentiasa membina jaringan bersama negara-negara luar khususnya bagi pemerkasaan tadbir urus STI yang mempunyai daya jangkau yang luas. Ini penting untuk memastikan tahap STI negara kekal berdaya saing di peringkat global.
Skip to content