23 Julai 2024, Putrajaya – Perhimpunan Bulanan MOSTI bagi bulan Julai 2024 dilaksanakan hari ini bersama YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) bertempat di Auditorium JPA, Kompleks C, Putrajaya. Perhimpunan bulanan pada kali ini diterajui oleh Bahagian Dana MOSTI dengan tema ‘Maal Hijrah- Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’.
YBrs. Puan Ruziah dalam ucapannya mengajak semua warga MOSTI mengambil semangat Maal Hijrah sebagai satu titik tolak untuk muhasabah dan memperbaiki diri serta kehidupan dan memperbaharui komitmen dalam membangunkan negara agar lebih berdaya saing dan adil. Malaysia Madani bukanlah sekadar impian, tetapi satu realiti yang dapat kita wujudkan dengan tekad dan usaha bersama.
YBrs. Puan TKSU(P) turut menekankan mengenai Program-program kesedaran dan pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) secara berterusan kepada masyarakat sebagai langkah yang penting untuk meningkatkan pemahaman dan penerimaan terhadap teknologi dalam kehidupan seharian. “Saya percaya bahawa melalui pendekatan ini, kita dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang faedah dan manfaat teknologi, dari penggunaan aplikasi mudah alih yang memudahkan urusan harian hingga kepada penyelidikan yang lebih kompleks dalam bidang sains dan teknologi” ujarnya.
Sempena tahun baru Maal Hijrah 1446H, Jawatankuasa Surau Ar-Raudah As-Sakinah MOSTI memilih YBrs. Tuan Haji Shahruddin bin Haji Yusof, Pengarah Planetarium Negara sebagai Tokoh Maal Hijrah MOSTI bagi tahun 1446H / 2024M. Anugerah ini diberikan bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai individu yang telah menunjukkan pengamalan Islam yang cemerlang serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada komuniti dan organisasi.
Terlebih dahulu telah diadakan Ceramah Maal Hijrah oleh Al-Fadhil Ustaz Zul Ramli M Razali yang bertajuk “Better Me”. Antara lain, pengisian pada Perhimpunan bulanan kali termasuklah Makluman Kenaikan Pangkat, Makluman Pegawai Keluar Masuk dan Sambutan Hari Lahir Warga MOSTI, Jabatan dan Agensi (Julai).