Skip to main content
News

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Antara National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) Dengan Cansino Biologics Inc. People’s Republic of China

25 Julai 2024, Kuala Lumpur – Satu perjanjian kerjasama (MoA) telah dimeterai antara National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM Malaysia) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan syarikat CanSino Biologics Inc. dari negara Republik Rakyat China.
Memorandum perjanjian ini telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM bagi pihak NIBM dan Mr. Wang Hong Yi, mewakili CanSino Biologics Inc. People’s Republic of China dan disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Mr. Chen Youliang, Penasihat Menteri (Minister Counsellor) Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia.
“Memorandum perjanjian ini dijangka akan memperkukuhkan hubungan sedia ada kedua-dua negara khususnya antara NIBM dan CanSino Biologics Inc. melalui kerjasama yang lebih strategik dengan memfokuskan kepada penyelidikan bersama bagi pembangunan platform vaksin manusia, pertukaran penyelidik, pemindahan teknologi dan biopembuatan sehingga ke peringkat pengujian makmal.” kata YB Chang Lih Kang.
Tambah beliau, ini adalah seiring dengan hasrat negara melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) untuk mengeluarkan vaksin manusia sendiri menjelang 2030. Usaha ini sedang digerakkan oleh Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGVI), yang merupakan agensi pelaksana di bawah NIBM, Malaysian Vaccine Project Office (MVPO), rakan penyelidik di institusi penyelidikan dan IPT lain bagi memastikan kejayaan PPVN untuk memacu Malaysia dalam membangunkan ekosistem pembuatan vaksin manusia.
CanSino Biologics Inc merupakan syarikat biopharma dunia yang telah ditubuhkan pada tahun 2009 dan berpengalaman menghasilkan vaksin untuk kegunaan manusia seperti COVID19, Meningococcal dan Ebola. Kepakaran CanSino Biologics Inc amat
berharga untuk Malaysia manfaatkan menerusi kerjasama penyelidikan bersama pihak MGVI-NIBM dalam pembangunan calon vaksin yang menggunakan platform mRNA.
Kerjasama penyelidikan dan pembangunan ini meliputi perkongsian bakat dan pakar serta juga pemindahan teknologi dan dijangka disempurnakan dalam tempoh 2 tahun. MoA ini diharap dapat mengukuhkan ekosistem pambangunan dan penyelidikan vaksin manusia selaras dengan aspirasi negara untuk menghasilkan vaksin tempatan menjelang tahun 2030.
Skip to content