29 Ogos 2024, Selangor – Projek MyGenom merupakan program usaha sama antara dua kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan projek ini adalah suatu anjakan penting dalam perkembangan bidang sains dan teknologi, khususnya dalam populasi genomik.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran MyGenom di Institut Kesihatan Negara (NIH), Setia Alam.
MyGenom menetapkan tiga objektif utama iaitu menjujuk genom rakyat Malaysia, penghasilan ‘genom rujukan’ untuk Malaysia dan mencirikan variasi genetik rakyat Malaysia. Melalui penjujukan dan analisis genom rakyat Malaysia, pencirian variasi genetik kepelbagaian masyarakat merentasi pelbagai etnik dan kaum dapat dikenal pasti, dan maklumat ini adalah penting bagi pelaksanaan ke arah perubatan jitu apabila dilaksanakan di Malaysia kelak.
Projek MyGenom ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan diterajui oleh para penyelidik daripada Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM Malaysia), MOSTI dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), National Institutes of Health Malaysia (NIH), KKM. MGVI-NIBM akan melaksanakan proses penjujukan genom manakala IMR, NIH, KKM pula akan menjalankan proses pensampelan.
Secara keseluruhannya, Projek MyGenom akan memberikan impak besar kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat dengan menetapkan garis asas untuk variasi genetik, meningkatkan ketepatan diagnostik, meningkatkan perubatan jitu, memberi panduan kepada strategi kesihatan awam, serta memudahkan penyelidikan dan inovasi dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, sekaligus menambah baik sistem kesihatan Malaysia.
Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI dan YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia.