Skip to main content
News

RDC Sibu, Sarawak

10 September 2024, Sarawak – Ruang Daya Cipta atau RDC merupakan inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia bertujuan memberi akses kepada komuniti di Malaysia terhadap kemudahan dan peralatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara lebih dekat dan mudah dicapai.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI melancarkan RDC Sibu, Sarawak yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi STIE, seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan lain-lain fasiliti berasaskan teknologi terkini untuk manfaat komuniti setempat.
Melalui latihan dan pembangunan kapasiti yang dijalankan di RDC, setiap peserta atau pengguna dapat menggunakan teknologi untuk menjana pendapatan berasaskan 10-10 STIE Ecosystem (Subscription Business Match and Sharing/Network Economy). Pendekatan ini diharap dapat membangunkan usahawan dari kalangan B40 dan luar bandar dengan menekankan konsep inovasi yang berimpak tinggi.
Selain itu, komuniti juga turut berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti inovasi yang menggunakan teknologi sedia ada, seperti pencetak 3D, robotik, dron dan peralatan lain secara praktikal. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti hidup, produktiviti, serta ekonomi komuniti melalui penghasilan idea dan kreativiti yang boleh dipasarkan.
Laman sesawang RDC ini boleh diakses secara maya melalui Sistem Ruang Daya Cipta Administration Management (RAMs) di pautan www.rdc.yim.my untuk mengetahui aktiviti kelas pembelajaran terkini dan program-program yang bakal berlangsung.
YBhg. Dato’ KSU turut menyerahkan sijil Social Technopreneurs Enrichment Program (STEP) kepada penerima manfaat. STEP merupakan inisiatif di bawah Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK) yang diteraju oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Skip to content