Skip to main content
News

Bengkel Pemantapan Pengurusan Dana Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara (DPVN)

14 April 2025, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO) MOSTI mengadakan Bengkel Pemantapan Pengurusan Dana Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara (DPVN) pada 14 dan 15 April 2025. Bengkel ini melibatkan sesi libat urus berkenaan pengurusan DPVN bersama pemegang taruh utama dalam bidang vaksin, yang merangkumi wakil kerajaan, industri, akademia dan agensi penyelidikan.
DPVN ditubuhkan di bawah Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sebagai inisiatif untuk menyokong keperluan pendanaan dalam pembangunan ekosistem vaksin tempatan.
YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, hari ini telah merasmikan bengkel DPVN. Dalam ucapan perasmiannya beliau menekankan kepentingan aspek kebolehpasaran vaksin yang dibangunkan dalam negara serta keperluan kesiapsiagaan kesihatan yang berterusan. Beliau turut menyeru agar keupayaan penghasilan vaksin tempatan terus diperkukuh, khususnya bagi vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
Melalui penganjuran bengkel ini, MOSTI percaya bahawa kolaborasi menyeluruh yang melibatkan semua pemegang taruh adalah kunci dalam memacu pembangunan ekosistem vaksin negara. Perbincangan yang konstruktif, perkongsian secara interaktif, serta input yang diperoleh daripada bengkel ini diyakini akan memberikan manfaat kepada semua pihak dan menyumbang kepada penambahbaikan pelaksanaan PPVN dan DPVN mengikut keperluan semasa dan akan datang.
Skip to content