Skip to main content
News

Ruang Daya Cipta (RDC)@UTC Kota Bharu, Kelantan

24 April 2025, Kota Bharu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited memperkukuh keterlibatan masyarakat melalui Ruang Daya Cipta (RDC)@UTC Kota Bharu, Kelantan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi nasional Kerajaan MADANI dalam memperluas kefahaman serta penggunaan elemen Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan rakyat.
Usaha ini sejajar dengan teras Malaysia MADANI: Daya Cipta, yang menekankan penyediaan persekitaran dan infrastruktur bagi merangsang kreativiti serta menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang inovatif, khususnya di kawasan luar bandar.
RDC Kota Bharu yang siap dibangunkan pada Mac 2025 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi seperti komputer, pencetak 3D, dan studio digital bagi menyokong pembangunan kemahiran teknologi dan kreativiti dalam kalangan masyarakat. Pembangunan fasiliti ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasakan agenda pembangunan teknologi di peringkat akar umbi. RDC ini juga merupakan pusat kedua yang diwujudkan di Kelantan selepas RDC Tumpat di Kampung Laut.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya yang dibacakan oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, menyatakan “Pendekatan pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) perlu lebih fokus dan berimpak tinggi, bukan sekadar menambah bilangan RDC semata-mata. RDC harus berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Inovasi (Centre of Excellence) yang menumpukan kepada inovasi berasaskan keperluan sebenar masyarakat serta memperkasa kualiti dan daya saing produk tempatan.”
Bagi RDC@UTC Kota Bharu, sasaran ditetapkan untuk menerima lebih 5,000 pengunjung dalam tahun pertama pelaksanaannya, dengan sekurang-kurangnya 1,500 peserta komuniti terlibat dalam latihan serta menggunakan kemudahan teknologi yang disediakan seperti pencetak 3D, studio digital, dan fasiliti lain.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI yang mewakili YB Tuan Chang Lih Kang.
Mewakili Kerajaan Negeri Kelantan adalah YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan dan Timbalannya, YB Tuan Haji Kamaruzaman Mohamad, serta YB Dr. Hafidzah Mustakim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah YBrs. En. Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI; Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM); dan En. Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan
Skip to content