Skip to main content
News

Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) Pertama di Semenanjung Malaysia

09 Mei 2025, Putrajaya – Pelancaran Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) yang dirasmikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini merupakan projek rintis pertama dalam sektor mobiliti hidrogen di Semenanjung Malaysia.

Projek ini mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad (NMB) dengan kerjasama PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), Sime UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Projek MHRS mencerminkan nilai kemakmuran MADANI (Kesejahteraan) dengan meningkatkan kualiti hidup melalui penggunaan tenaga bersih yang menyokong pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Bagi merangsang ekosistem mobiliti hidrogen, kerjasama perlu dijalin dengan pembekal kenderaan elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle, FCEV) untuk pengesahan teknologi, pelaksanaan projek rintis, dan demonstrasi kenderaan berkuasa hidrogen. Di samping itu, infrastruktur asas bagi pengisian hidrogen dalam FCEV perlu disediakan bagi mempercepatkan penggunaan hidrogen sebagai bahan api dalam sektor pengangkutan dan mobiliti.
Kejayaan pelaksanaan projek MHRS ini adalah hasil daripada kerjasama padu dengan peneraju utama industri hidrogen di Malaysia. NMB, sebagai pentadbir aset yang mewakili MOSTI, bertindak sebagai pengendali stesen MHRS dan tapak ujian untuk teknologi baharu bagi meneroka peluang komersial jangka panjang. PTVSB membekalkan hidrogen dan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan stesen (EPCC). Sime UMW dan UMWT menyumbangkan tiga kenderaan berkuasa hidrogen Toyota Mirai serta menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan. MGTC pula melaksanakan kajian kebolehlaksaan penggunaan kenderaan FCEV atas jalan raya tempatan dengan sokongan data daripada UMWT dan syarikat pembekal MHRS, iaitu Hydrexia Sdn Bhd.
Kejayaan pelancaran projek MHRS akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan penglibatan industri, menarik minat pelabur, pihak berkepentingan, dan pemain industri untuk turut serta secara aktif dalam pembangunan ekosistem hidrogen Malaysia. Dengan pasaran hidrogen global dijangka berkembang pesat dalam dekad akan datang, projek MHRS bakal meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi hidrogen. Pasaran stesen pengisian semula hidrogen berskala kecil juga dijangka melebihi USD 7.3 bilion menjelang 2034, MHRS membuka ruang bagi pertumbuhan, pelaburan, dan inovasi yang lebih besar dalam sektor tenaga bersih Malaysia.
Hadir sama YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI; YBhg. Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa; Ketua Strategi, SIME UMW; YBrs. Encik Izwan Ismail, Pengerusi, PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB); YBrs. Encik Takashi Obata, Naib Pengerusi, UMW Toyota Motor (UMWT); YBrs. Tuan Haji Ismail bin Mohd Amin, Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan YBrs. Dr. Rezal Khairi Bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, NanoMalaysia Berhad (NMB).
Skip to content