Skip to main content
NewsGeneral

Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur: Semarak Minat STI dalam Kalangan Generasi Muda Masa Depan

24 Jun 2025, Terengganu –  Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Timur bermula hari ini di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu. Program ini merupakan satu inisiatif strategik di bawah Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyemarakkan minat dan penglibatan rakyat Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
YAB Dato’ Haji Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyambut baik inisiatif Program Minggu Sains Negara oleh MOSTI sebagai satu usaha penting dalam meningkatkan kesedaran Masyarakat terhadap kepentingan STI. Kerajaan Negeri menekankan komitmen untuk terus menyokong inisiatif ini dengan melibatkan penyertaan agensi-agensi negeri dan sektor swasta dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran khususnya di negeri Terengganu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang pula berkata, penganjuran Minggu Sains Negara bukan sekadar satu program tahunan – ia adalah platform penting untuk menyemai minat, membina kesedaran dan memperkukuh ekosistem bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Dalam menghadapi gelombang teknologi baharu seperti AI, pendigitalan dan ekonomi hijau, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna. Kita mesti melahirkan pencipta dan peneraju. MOSTI komited untuk memastikan bakat tempatan dibina secara inklusif dan berterusan agar negara bukan sahaja bersedia, malah mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan.
Melihat kepada sambutan penyertaan pada tahun lalu, MOSTI menyasarkan lebih 300 ribu penyertaan keseluruhan dapat dicapai pada tahun ini. Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung.
Hadir sama pada Majlis Perasmian MSN Zon Timur ialah YB Dato’ Nara Setia, Dato’ Zulkifli Bin Ali, Setiausaha Kerajaan Terengganu; YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; YBrs. Encik Mohammad Fuad Bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dan YBrs. Encik Mohd Huzairil Nizam bin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.
Skip to content