Skip to main content
News

Malaysia Lancar Platform Startup ASEAN Bagi Memacu Pertumbuhan Serantau

25 Jun 2025, Putrajaya – Malaysia hari ini melancarkan platform Startup ASEAN, sebuah inisiatif digital yang menyeluruh dan strategik bagi menghubungkan serta memperkasa ekosistem startup di seluruh rantau ASEAN. Usaha ini diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle). Pelancaran peringkat serantau ini turut memperkukuh komitmen Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memacu inovasi yang inklusif serta meningkatkan daya saing ekonomi di peringkat serantau.

Platform Startup ASEAN dibangunkan sebagai hab sehenti yang menyeluruh serta menawarkan akses langsung kepada peluang pasaran serantau, pembiayaan, rangkaian pelabur, pembangunan bakat dan pandangan ekosistem.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, “Malaysia berbesar hati menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan memimpin usaha membina ekosistem startup serantau yang mampan dan berdaya saing. Platform Startup ASEAN bukan sekadar gerbang digital – ia ialah pemangkin strategik yang dibentuk menerusi kerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN bagi menangani isu capaian pasaran, pembiayaan, bakat dan data.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kepimpinan Malaysia di bawah program ASEAN Technology Startup Ignite mencerminkan langkah strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi serantau. Pelaksanaan berfasa ini meliputi:
▶️ Fasa 1, 2024: Pembangunan dan pra-pelancaran platform Startup ASEAN
▶️ Fasa 2, 2025: Pelancaran platform Startup ASEAN, program dibawah Startup ASEAN, usaha pembinaan kapasiti dan Sidang Kemuncak Startup ASEAN
▶️ Fasa 3, 2026 dan seterusnya: Penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk startup peringkat awal
Majlis pelancaran hibrid ini menampilkan video jelajah Startup ASEAN yang memaparkan kisah kejayaan yang unik serta kepelbagaian budaya dari semua Negara Anggota. Bersempena dengan pelancaran ini, Cradle menganjurkan sesi akses pasaran serantau, ASEAN CrossConnect, yang menghimpunkan 10 mentor global dari negara ASEAN dengan startup dari seluruh rantau.
Cradle akan terus bekerjasama rapat dengan semua Negara Anggota ASEAN bagi meningkatkan nilai platform ini, memastikan ia memberi impak bermakna melalui peningkatan akses pasaran, peluang pelaburan dan pertukaran pengetahuan.
Hadir sama YBhg. Tuan Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Norman Matthieu Vanhaecke, CEO Kumpulan Cradle dan YBrs. Dr. Zurina Moktar, Ketua Bahagian Sains dan Teknologi, Sekretariat ASEAN.
Untuk menyertai ekosistem startup serantau, sila layari www.startup-asean.org.
Skip to content