10 Julai 2025, Sabah – Sabah terus menjadi tumpuan dalam peta pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Karnival Minggu Sains Negara 2025 (MSN) Zon Sabah untuk tahun ini.
Penganjuran ini mencerminkan sambutan luar biasa yang diterima sejak kali pertama diperkenalkan dan dilancarkan pada tahun 2018. Bagi pelaksanaan di Sabah, penganjuran Minggu Sains Negara 2025 diperhebatkan melalui MSN Kembara iaitu Kembara Sains Borneo Zon Sabah. Bas pameran bergerak PSN Trooperz On The Move dibawakan khas daripada Pusat Sains Negara Kuala Lumpur ke negeri Sabah dan Sarawak yang dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif menarik untuk pelajar dan guru-guru.
Dalam ucapan perasmian oleh YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa komited dalam usaha merakyatkan sains dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pelbagai inisiatif pembudayaan STI telah dilaksanakan, termasuk membawa bahan pameran dan aktiviti sains interaktif ke bumi Borneo melalui Program Kembara Sains Borneo. Pendekatan membawa pembelajaran STI secara terus ke lapangan ini telah bermula sejak tahun 2023 dan berjaya mendekatkan sains kepada masyarakat luar bandar.
Tambah beliau, Kembara Sains Borneo 2025 telah berjaya menjelajah ke 30 buah sekolah, bermula di Kota Samarahan, Sarawak pada 6 Mei 2025 dan berakhir di Lahad Datu pada 1 Julai 2025. Sepanjang siri jelajah ini, lebih 20,000 peserta telah mendapat manfaat daripada pelbagai aktiviti yang disediakan. Respon masyarakat amat memberangsangkan apabila pelajar, guru dan penduduk setempat menyambut baik penganjuran ini, malah berharap program seumpama ini diteruskan dan diperluas pada masa hadapan.
penganjuran MSN mendapat sokongan erat daripada rakan kerjasama strategik iaitu Planetarium Negara, Akademi Sains Malaysia dan Petrosains Discovery Center Sdn. Bhd. serta mendapat sokongan Yayasan MR. DIY selaku penaja utama MSN 2025. Kerjasama erat sektor swasta amat penting dalam memastikan inisiatif pembudayaan STI ini dapat dilaksanakan secara inklusif dan berimpak tinggi.