Skip to main content
News

Malaysia Perkukuh Pengesanan Sekuriti Nuklear Serantau

10 Julai 2025, Johor – Kemuncak kepada Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025) telah berlangsung hari ini menerusi pelaksanaan Field Training Exercise (FTX) yang diadakan di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah, Johor Bahru, Johor.

FTX ini mempamerkan demonstrasi koordinasi lintas agensi dalam bertindak balas terhadap kejadian sekuriti nuklear melibatkan penyeludupan bahan radioaktif merentas sempadan maritim, dan merupakan kesinambungan kepada Tabletop Exercise (TTX) yang telah dilaksanakan pada 8 dan 9 Julai 2025.
Pelaksanaan FTX secara fizikal telah menguji keupayaan aset dan keanggotaan pelbagai agensi dalam menangani senario penyeludupan bahan radioaktif merentas sempadan darat dan laut di rantau ASEAN.
Sepanjang latih amal, pelbagai aset serta anggota telah digerakkan daripada agensi penguatkuasa undang-undang, iaitu Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).
Latihan ini turut menampilkan demonstrasi taktikal merangkumi aspek pengesanan, pemonitoran, pengasingan, pengurusan serta penyimpanan bahan radioaktif dalam situasi ancaman yang menyerupai keadaan sebenar.
Latihan ini telah disaksikan oleh Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan wakil daripada negara Singapura, Puan Koh Li-Na Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Meteorologi dan Perlindungan Sinaran (MSRP). Selain itu, latihan ini turut disaksikan oleh wakil dari negara Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei Darusslam, Amerika Syarikat, Kerajaan Arab Saudi, Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL).
Penganjuran MITSATOM 2025 secara menyeluruh mencerminkan keterangkuman dan keyakinan terhadap jaringan kerjasama serantau serta komitmen terhadap kesejahteraan sejagat. Ia turut memperkukuh prinsip Malaysia MADANI yang menjunjung nilai-nilai berteraskan integriti, keselamatan bersama dan tanggungjawab sejagat dalam menghadapi cabaran sekuriti nuklear rentas sempadan.
Skip to content