11 Julai 2025, Sabah – Selaras dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan dan kerangka Malaysia MADANI, Projek MyGenom diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai usaha strategik membina aset genom negara bagi memperkasa sistem kesihatan berasaskan data dan teknologi.
MyGenom dilaksanakan di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) melalui Program Perdana 4 yang menumpukan kepada penggunaan teknologi omik dan terapi bersasar untuk kesihatan awam. KKM bertanggungjawab terhadap persampelan dan analisis genomik berkaitan kesihatan awam, manakala MOSTI melalui Malaysian Genome and Vaccine Institute (MGVI) di bawah National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) memacu aspek penjujukan genom menggunakan kemudahan berteknologi tinggi.
Projek MyGenom bertujuan menghasilkan genom rujukan Malaysia untuk menyokong strategi pencegahan penyakit, inovasi perubatan dan pembangunan dasar kesihatan yang tepat. Pendekatan rentas kementerian antara KKM dan MOSTI memastikan persampelan komuniti dilakukan secara inklusif dan beretika, termasuk melalui pusat pengambilan darah, komuniti luar bandar dan kempen derma darah.
Sejak Ogos 2024, Fasa 1 telah berjaya merekrut 3,150 peserta dari Semenanjung dan Sarawak dengan sasaran menyeluruh sebanyak 3,600 peserta. Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengetuai usaha ini, memberi fokus kepada komuniti kurang diwakili termasuk Bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Bulan Julai menyaksikan pelancaran rekrutmen di Kota Kinabalu, menandakan komitmen KKM terhadap keterangkuman wilayah dan etnik.
Pelaksanaan di Sabah turut digerakkan melalui rangkaian kerjasama antara fasiliti KKM dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), memperkukuh penglibatan akar umbi serta melancarkan operasi rekrutmen di kawasan bandar dan pedalaman.
MOSTI melalui NIBM memainkan peranan penting dalam proses penjujukan genom secara tempatan. Setakat 19 Jun 2025, sebanyak 1,080 genom telah berjaya dijujuk dalam negara dengan kerjasama teknikal KKM. Kemajuan ini disokong oleh pelaburan MOSTI dalam sistem penjujukan berprestasi tinggi yang membolehkan pemprosesan ratusan sampel dengan lebih efisien serta memastikan kedaulatan data genetik kekal di Malaysia.
Fasa 2 akan diperluas dengan sasaran 10,000 genom rakyat Malaysia yang mewakili pelbagai etnik, lokaliti dan latar belakang. Ini penting untuk mencegah bias dalam pemahaman penyakit dan tindak balas rawatan. Data genomik ini bakal diguna secara berfasa dalam pengurusan penyakit kronik seperti jantung, kanser, diabetes serta penyakit jarang jumpa. MyGenom juga membuka ruang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang genomik dan bioteknologi kesihatan, serta kerjasama penyelidikan merentas institusi termasuk di peringkat antarabangsa.
Selaras dengan slogan “Our Diversity, Our Genes, Our Future”, kerajaan percaya bahawa kepelbagaian genetik rakyat Malaysia adalah aset strategik yang perlu diterokai secara inklusif dan bertanggungjawab demi keadilan kesihatan dan kesejahteraan generasi akan datang.