11 Julai 2025, China – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke Beijing bagi menghadiri Global Civilizations Dialogue Ministerial Meeting di Beijing, Republik Rakyat China dari 10 hingga 11 Julai 2025.
Susulan acara pembukaan pada 10 Julai 2025, program bersambung pada hari berikutnya dengan penganjuran forum-forum yang membincangkan pertukaran antara tamadun dan pembangunan inovatif berpaksikan sains dan teknologi.
Pada forum kelima yang bertemakan 𝘐𝘯𝘵𝘦𝘳-𝘊𝘪𝘷𝘪𝘭𝘪𝘻𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘌𝘹𝘤𝘩𝘢𝘯𝘨𝘦𝘴 𝘢𝘯𝘥 𝘔𝘶𝘵𝘶𝘢𝘭 𝘓𝘦𝘢𝘳𝘯𝘪𝘯𝘨: 𝘐𝘯𝘯𝘰𝘷𝘢𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘋𝘦𝘷𝘦𝘭𝘰𝘱𝘮𝘦𝘯𝘵 𝘰𝘧 𝘚𝘤𝘪𝘦𝘯𝘤𝘦 𝘢𝘯𝘥 𝘛𝘦𝘤𝘩𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘺, YB Tuan Chang Lih Kang menyampaikan ucaptama bagi mewakili Malaysia dengan memfokuskan kepada penggunaan sains dan teknologi secara beretika dan menghormati sensitiviti budaya.
Menurut YB Tuan Chang Lih Kang, kemajuan sains dan teknologi tidak seharusnya menjadi pencetus perpecahan, sebaliknya ia boleh menyatukan lagi masyarakat dunia.
Masalah ketidaksamaan akses kepada teknologi ini sewajarnya dapat ditangani dengan penekanan diplomasi sains untuk menggalakkan kerjasama merentas sempadan yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan dan keamanan global.
Kehadiran YB Tuan Chang Lih Kang kali ini adalah kesinambungan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama dengan Republik Rakyat China, susulan lawatan rasmi ke Malaysia oleh Presiden Xi Jinping pada April tahun ini dan oleh Premier Li Qiang pada bulan berikutnya.
- _cuva