17 Julai 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Startup World Cup Malaysia 2025 – Peringkat Akhir Kuala Lumpur di Khazanah Auditorium, Asia School of Business (ASB). Program ini telah menghimpunkan bakat keusahawanan terbaik negara dalam satu pertandingan pembentangan berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Growth Charger, penganjur rasmi Startup World Cup Malaysia, dengan sokongan daripada Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) – sebuah agensi di bawah MOSTI selaku Rakan Penaja Utama. Program ini merupakan platform untuk mengetengahkan generasi baharu usaha niaga inovatif yang beraspirasi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global.
Sepuluh (10) syarikat permulaan (startups) berpotensi tinggi telah tampil di pentas peringkat akhir KL, membentangkan idea mereka kepada panel hakim terkemuka yang terdiri daripada para pelabur, pakar industri, dan pemimpin korporat. Syarikat permulaan yang memenangi pertandingan ini akan mewakili Malaysia di Pusingan Akhir Startup World Cup 2025 di Silicon Valley, dan berpeluang merebut pelaburan bernilai USD 1 juta daripada Pegasus Tech Ventures.
Qarbotech Sdn Bhd telah berjaya memikat para hakim dengan teknologi biocompatible quantum dots technology yang mampu meningkatkan fotosintesis tumbuhan dan seterusnya mempercepatkan pertumbuhan sehingga 60%.