Skip to main content
News

Malaysia Techlympics 2025 Zon Selatan: MOSTI Perkasa STI dan Bakat Inovasi Belia

28 Julai 2025, Johor – Program Malaysia Techlympics 2025 diteruskan dengan penganjuran Peringkat Zon Selatan yang berlangsung selama dua (2) hari, bermula 28 hingga 29 Julai 2025, bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, Johor.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. YB Timbalan Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Kerajaan Negeri Johor dan Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, institusi pengajian tinggi, agensi teknikal, industri serta para guru dan pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.
Hadir sama, YB Datuk Fairul Nizam bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Puan Ruziah Shafei, TImbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI.
Penganjuran peringkat Zon Selatan mencatatkan penyertaan lebih 2,000 orang peserta daripada 120 buah sekolah di Negeri Johor dan Melaka. Para peserta bersaing dalam pelbagai pertandingan teknologi, menyertai bengkel interaktif serta aktiviti hands-on yang melibatkan bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi dron, pengaturcaraan, robotik, pengkomputeran awan dan IoT.
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap prinsip keterangkuman dan keadilan pendidikan, Malaysia Techlympics 2025 turut melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach). Inisiatif ini memastikan pelajar luar bandar dan komuniti kurang terdedah turut mendapat akses kepada pendidikan STEM secara langsung. Seramai lebih 1,500 pelajar dan 1,000 orang guru dari Zon Selatan telah terlibat secara aktif dalam program outreach, termasuk latihan Training of Trainers secara fizikal dan dalam talian.
Skip to content