09 Ogos 2025, Kelantan – Sempena Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan, telah berlangsung Acara Simbolik Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Solar Kampung Bahagia, Kuala Krai, Kelantan bertempat di Pavillion MOSTI, Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan acara tersebut dengan simbolik penyerahan kepada Encik Muhammad bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Kampung Mambong Bahagia, Kuala Krai.
Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI; YBrs. Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI dan YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Inovasi Sosial Kementerian yang berteraskan prinsip tanggungjawab sosial melalui aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Ia bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan penggunaan hasil inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan secara inklusif, khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Terlebih dahulu pada 4 Ogos 2025, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI bersama-sama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pemasangan lima (5) unit Lampu Solar di Kampung Bahagia, Kuala Krai. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih 800 penduduk yang melibatkan lebih 300 buah rumah, malah turut memberi impak yang besar terhadap aspek keselamatan dan kualiti hidup masyarakat setempat.