Skip to main content
News

Kajian Separuh Penggal Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 & Belanjawan 2026 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

27 Ogos 2025, Kuala Lumpur – Hari ini telah berlangsung Sesi Townhall Kajian Separuh Penggal Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dan Belanjawan 2026 peringkat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan di Asian International Arbitration Centre (AIAC) Kuala Lumpur.

Sesi ini telah dihadiri oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Puan Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Encik Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, Setiausaha-setiausaha Bahagian Kementerian dan pihak industri serta pemegang taruh Kementerian.
Penganjuran sesi ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta input pelbagai pemegang taruh khususnya dalam kalangan industri dan akademia bagi memperkukuh pembangunan Kajian Separuh Penggal DSTIN 2021–2030. Input yang dikumpul akan dipadankan dengan aspirasi Belanjawan 2026 demi memastikan hala tuju sains, teknologi dan inovasi (STI) terus menjadi pemacu utama pembangunan negara.
Halatuju MOSTI turut berpaksikan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan melakar semula pembangunan negara yang berteraskan STI.
Sasaran yang digariskan melalui DSTIN ialah:
• Menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030,
• Mencapai perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sebanyak 2.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),
• 70% perbelanjaan R&D disumbangkan oleh sektor swasta, serta
• 200 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
Ini adalah antara komitmen MOSTI untuk memperkukuh ekosistem STI negara melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berteknologi tinggi menjelang 2030.
Skip to content