05 September 2025, Selangor – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS).
Majlis penuh keberkatan ini turut diserikan dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025 kepada penerima yang terpilih.
Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri. YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah menyampaikan ucapan menjunjung kasih di majlis berkenaan.
Dengan tema “Membangun Ummah MADANI”, seramai 6,104 peserta telah mengambil bahagian dalam perarakan melibatkan 119 kontinjen daripada empat kategori utama iaitu kementerian, pasukan beruniform, jabatan di bawah kementerian/Jabatan Perdana Menteri, badan berkanun dan sektor swasta. Kontinjen MOSTI seramai 60 orang turut menyertai perarakan yang dipimpin oleh Ustaz Nor Azlim bin Mat Sidik, Pegawai Hal Ehwal Islam MOSTI.
Turut hadir bersama ke majlis sambutan ini adalah YBrs. Puan Ruziah Bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI serta warga MOSTI yang turut memeriahkan.