02 Oktober 2025, Putrajaya – YB Dato’ Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah melancarkan MIMOS Technology Preview (MTP) 2025 bersempena ulang tahun ke-40 MIMOS. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. Puan Norsham bin Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI dengan diiringi Yang Mulia Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, Penasihat STI kepada Perdana Menteri, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Pengasas MIMOS, YBrs Dr Jasmine Begum, Pengerusi MIMOS Berhad serta YBrs. Dr Saat Shukri Embong, Presiden dan CEO MIMOS Berhad.
MTP 2025 menjadi pemangkin kerjasama dan lonjakan baharu Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Lebih 25 teknologi baharu dipersembahkan merangkumi semikonduktor, kecerdasan buatan, keselamatan siber, penyelesaian hijau serta kesihatan pintar.
Pada masa yang sama, MIMOS turut meraikan pelantikan Felo Industry Advocacy Group (IAG) sebagai pengiktirafan kepada tokoh industri dan akademik negara. Felo ini akan menjadi suara penting dalam menentukan hala tuju dasar teknologi Malaysia, membimbing kerjasama baharu dan memperkukuh strategi nasional.
Empat dekad MIMOS membuktikan bahawa Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan negara lain melalui inovasi. Inilah bukti bahawa Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta yang mampu mencorakkan masa depan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga MIMOS atas sumbangan besar selama empat dekad ini. Semoga semangat inovasi, keberanian mencuba dan usaha tanpa henti akan membawa Malaysia melangkah lebih jauh ke hadapan.