09 Oktober 2025, Kuala Lumpur – National Innovation and Commercialisation Expo 2025 (NICE 2025) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang hari ini, menandakan kejayaan penganjuran program inovasi terbesar negara yang menghimpunkan seluruh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) di bawah satu bumbung.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Puan Norsham Binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI bersama para tetamu kehormat, pemimpin industri serta warga STI.
Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai idea, teknologi dan hasil penyelidikan telah diketengahkan, di samping berlangsungnya perbincangan serta jaringan strategik yang menjadi asas penting kepada masa depan inovasi negara. Penganjuran ini mencerminkan landskap inovasi nasional yang dinamik, membanggakan dan menggambarkan kematangan serta daya saing ekosistem STI Malaysia di peringkat global.
Pelbagai persidangan dan sesi dialog berimpak tinggi telah diadakan, membincangkan topik-topik kritikal masa kini termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi kesihatan (HealthTech), teknologi pertanian (AgriTech), bioekonomi (BioTech), dan strategi “Going Global” dalam menembusi pasaran antarabangsa.
NICE 2025 turut menyaksikan penyertaan lebih 150 pempamer daripada universiti, agensi kerajaan, syarikat pemula dan korporat besar yang mempamerkan pelbagai penyelesaian dan teknologi baharu. Ini memperlihatkan keluasan potensi inovasi yang lahir daripada ekosistem STI negara.
Lebih membanggakan, expo ini turut menyaksikan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) bernilai lebih RM900 juta, bukti nyata keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kebolehan Malaysia dalam bidang teknologi dan inovasi.
Pengunjung adalah terdiri daripada penyelidik, pelabur, pemain industri serta generasi muda telah membanjiri expo ini. Kehadiran mereka mencerminkan bahawa budaya inovasi semakin subur dan berakar kukuh dalam masyarakat. Expo ini juga disertai lebih 300 pelajar dan guru dari sekitar Kuala Lumpur yang berpeluang mendekati dunia inovasi serta teknologi negara.
Keseluruhan kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia semakin diyakini sebagai hab inovasi dan teknologi serantau, hasil kemampuan kita menyatukan idea, bakat, modal dan teknologi yang menandakan peralihan Malaysia daripada pengguna kepada pencipta, pengeluar dan pengeksport inovasi.
Jumpa lagi di penganjuran NICE yang akan datang dengan pengisian yang lebih berinovatif dan memenuhi aspirasi Malaysia.