21 Oktober 2025, Thailand – YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan sebagai Malaysia’s Board of Adviser kepada ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (BAC), telah menghadiri 19th Meeting of the Board of Advisers to COSTI (BAC-19). Mesyuarat tersebut telah diadakan bersempena dengan 88th Meeting of the ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-88) serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 19 hingga 24 Oktober 2025.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, MOSTI; YBrs. Ts. Dr. Radin Zulhazmi bin Radin Abdul Halim, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T, MOSTI; serta wakil daripada Cradle Fund Sdn. Bhd.
BAC terdiri daripada pakar dan pembuat dasar yang memberikan nasihat strategik serta syor untuk memperkukuh agenda STI ASEAN. Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada penilaian semula program dan projek yang sedang dijalankan, menilai syor dasar utama, serta meneroka peluang baharu bagi mempertingkatkan penyelidikan, inovasi dan kerjasama di seluruh rantau ASEAN.
Malaysia telah membentangkan progress dan hasil perbincangan daripada 55th Meeting of the Sub-Committee on Biotechnology (SCB-55) yang dipengerusikan oleh Malaysia pada tahun ini. Selain itu, Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini mengenai Priority Economic Deliverable (PED) 2025 – Establishing ASEAN Technology Startup Ignite, yang diterajui oleh Malaysia melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025. Inisiatif PED ini bertujuan untuk memperkukuh inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi di seluruh ASEAN dengan mempercepatkan pertumbuhan serta kelestarian syarikat pemula (startup) melalui program pembangunan kapasiti, sokongan nasihat perniagaan, bimbingan (mentorship), dan kerjasama serantau.
Malaysia juga menekankan kejayaan pelaksanaan Startup ASEAN Portal, salah satu inisiatif di bawah ASEAN Startup Initiative, yang telah diluluskan sebagai Annual Priority (AP) dan berjaya disiapkan pada tahun 2024.
Selain itu, Malaysia turut membentangkan cadangan untuk menubuhkan Startup ASEAN Digital Centre of Excellence (CoE), sebuah platform serantau yang direka untuk menghimpunkan pemain ekosistem utama termasuk startup, pelabur, pembuat dasar, dan pemudah cara ekosistem bagi menggalakkan inovasi dan kerjasama rentas sempadan. Inisiatif ini dibangunkan bersama sebagai usaha strategik di bawah Startup ASEAN Platform bagi menyokong pertumbuhan serantau, pembangunan kapasiti dan peluang perkongsian. Cadangan ini akan dibentangkan untuk pertimbangan semasa 88th COSTI Meeting pada 22 Oktober 2025.
Perbincangan semasa BAC-19 juga memberi tumpuan kepada Terms of Reference (ToR) bagi lima Sub-Committee COSTI baharu, serta penubuhan Task Forces dan Subsidiary Bodies selaras dengan hala tuju strategik di bawah APASTI 2026–2035.
Penyertaan delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI telah memberikan impak yang konstruktif dan bermakna, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau ASEAN dalam bidang STI.



