22 Oktober 2025, Melaka – Program Nano Kebangsaan (nanoKEB 2025) anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kembali menjadi platform utama memperkukuh ekosistem nanoteknologi negara selaras dengan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030.
Penganjuran tahun ini turut disokong oleh rakan strategik dan pelaksana iaitu NanoMalaysia Berhad (NMB), Persatuan Nanoteknologi Malaysia (MNA), Progene Link Sdn. Bhd., serta Persatuan Teknologi Farmaseutikal Malaysia (MSPT).
Bertempat di Hatten Hotel, Melaka, nanoKEB 2025 menampilkan dua (2) program utama — Malaysia Innovative Nanotechnology Seminar & Expo (MINSE 2025) dan Nanoceuticals Electrospinning Meeting & Demonstration (NEMD 2025). Program ini menghimpunkan para penyelidik, wakil industri, agensi kerajaan serta pelajar universiti bagi berkongsi pengetahuan, mempamerkan inovasi terkini dan membentuk jaringan kerjasama strategik dalam bidang nanoteknologi.
Majlis Penutup nanoKEB 2025 telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan. Turut diadakan ialah pra-pelancaran buku “Handbook for Interested Parties in Determining Quality of Nano-Product Intended for Trade Based on The Internationally Recognised Nanometrology”, hasil inisiatif NNC bersama Pasukan Petugas Standard, Regulatori dan Keselamatan Nanoteknologi (SRSNano).
Buku ini berfungsi sebagai rujukan penting kepada pengilang, makmal, pihak regulatori, penyelidik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memastikan produk berasaskan nano memenuhi piawaian antarabangsa — sekaligus meningkatkan daya saing dan keyakinan pasaran global terhadap produk tempatan.
Program ini turut memperkukuh kesedaran awam serta pembangunan bakat muda dalam bidang sains dan teknologi melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan pertandingan berasaskan inovasi seperti 1st International Nanotechnology Olympiad for High School (INO-HS) 2025, Pertandingan Video Pendek Kesedaran Nanoteknologi, Pembentang Poster Terbaik NEMD 2025, serta Pertandingan Reruai Terbaik MINSE 2025.
Bersama-sama, melalui nanoteknologi, kita membina masa depan Malaysia yang berteknologi tinggi, berdaya saing dan berteraskan nilai MADANI.






