Skip to main content
News

Astronomi Inklusif – Ilmu Tanpa Batas, Inklusiviti Tanpa Sempadan

06 November 2025, Sabah – Program Astronomi Inklusif @Sabah membuktikan bahawa ilmu sains, teknologi dan astronomi adalah milik semua tanpa mengira latar belakang, keupayaan fizikal atau batas geografi.

Menurut YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), penyerahan Modul Astronomi bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Penglihatan oleh Planetarium Negara mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan tiada individu tercicir daripada arus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Usaha ini memberi peluang kepada anak-anak istimewa untuk merasai, menghayati dan memahami keindahan Sains Angkasa mengikut keunikan cara mereka melihat dunia dan alam semesta. Beliau turut menegaskan bahawa sejarah membuktikan kekangan fizikal bukan penghalang kejayaan dalam bidang astronomi. Contohnya, Dr. Wanda Díaz-Merced, seorang saintis cacat penglihatan, berjaya membangunkan kaedah sonifikasi data astronomi iaitu teknik menukar isyarat bintang kepada bunyi bagi mendengar alam semesta.
Beliau menyeru murid berkeperluan khas agar terus yakin dengan potensi diri kerana kekurangan bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan untuk terus belajar dan mencipta. Seperti bintang kecil yang menyinari langit, semangat mereka turut menerangi dunia sains negara.
Turut hadir, YBhg. Tuan Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), YBrs. En Mohd Zamri Shah b. Mastor, Pengarah Planetarium Negara, YBhg. Datuk Mohd Hanafiah bin Mohd Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas), wakil Universiti Malaysia Sabah, Kementerian Pendidikan dan Hibuscus Petroleum Berhad serta pelajar yang terlibat.
Skip to content