11 November 2025, Pulau Langkawi – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menghadiri Mesyuarat Ke-4 Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) serta Mesyuarat Tertutup Malaysia–Rusia yang berlangsung di Langkawi International Convention Centre (LICC).
Mesyuarat tahunan ini dipengerusikan bersama oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, dan TYT Valery Falkov, Menteri Sains dan Pengajian Tinggi Persekutuan Rusia. Platform ini berperanan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Rusia selain menjadi mekanisme utama bagi mempergiat perbincangan, meneroka inisiatif baharu serta menilai kemajuan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sains, teknologi, inovasi dan kebudayaan untuk manfaat bersama kedua-dua negara.
Kehadiran YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam dalam mesyuarat pada kali ini melambangkan peranan proaktif MOSTI dalam memprakarsai serta memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia-Rusia khususnya dalam pembangunan dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi negara.
Antara bidang utama yang diberi tumpuan oleh MOSTI termasuk nuklear, hidrogen, angkasa, semikonduktor, inovasi, bioekonomi dan nanoteknologi — merangkumi aspek pertukaran tenaga pakar, penyelidikan dan pembangunan (R&D), seminar, projek bersama, keusahawanan serta lain-lain kerjasama teknikal.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.




