3 Disember 2025, Cyberjaya – Cyberjaya Conversations Summit 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan tema “Achieving ASEAN Sustainable Competitiveness Beyond 2025”.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Tuan Yang Terutama Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; Yang Berbahagia Pengerusi Bersama MIGHT daripada pihak Industri dan Kerajaan; YBhg. Ts. Rushdi Abdul Rahim, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT serta para tetamu jemputan. Kehadiran kepimpinan tertinggi kerajaan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memacu transformasi serantau menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama strategik.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa ASEAN hanya dapat menterjemahkan potensinya kepada kemakmuran yang berkekalan jika masa depannya berpaksikan inovasi, yang kini menjadi mata wang daya saing, asas ketahanan ekonomi dan pemacu pertumbuhan serantau.
Pelan Tindakan A-PAS-TI 2026–2035 berperanan sebagai rangka tulang belakang strategik yang menyelaras dasar, penyelidikan, modal dan bakat untuk agenda inovasi bersama. Pelan ini turut menegaskan aspirasi bahawa inovasi mesti bersifat inklusif, mengangkat ekonomi besar dan kecil, memberi manfaat kepada kluster teknologi serta usahawan desa, dan membawa sains keluar daripada makmal untuk diterjemahkan kepada peluang ekonomi, penyelesaian dan industri baharu.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut berkongsi mengenai pencapaian Malaysia sebagai salah sebuah daripada 10 pengeksport barangan teknologi tinggi terbesar dunia dengan nilai melebihi AS$127 bilion. Beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu “berinovasi dengan tujuan dan perkongsian” bagi membina masa depan yang lebih makmur, mampan dan inklusif.
Sidang kemuncak ini turut menghimpunkan pemimpin dan inovator serantau bagi membincangkan hala tuju dan penyelarasan strategi teknologi tinggi ASEAN dalam menghadapi landskap global yang pesat berubah. Acara melabuhkan tirai dengan seruan kepada kerajaan, industri, akademia dan belia untuk bersatu dalam merealisasikan visi bersama ke arah membentuk ASEAN yang berdaya saing dan bersedia memimpin melangkaui 2025.




