10 Februari 2026, Putrajaya – Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diadakan hari ini bertempat di Lobi Blok C5, MOSTI dan disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina (Tahun Kuda Api), YB Menteri menekankan keperluan warga MOSTI untuk bergerak pantas dan progresif, namun pada masa yang sama menyeimbangkan kemajuan dengan keharmonian serta nilai-nilai murni. Pendekatan ini perlu berpaksikan etika, empati dan kelestarian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan komitmen MOSTI untuk terus membudayakan sains, teknologi dan inovasi melalui pembangunan bakat serta pengaplikasian teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam pentadbiran awam. Usaha ini dilaksanakan seiring pemerkasaan inovasi berimpak tinggi dan daya saing negara menerusi inisiatif strategik seperti Malaysia Techlympics dan PEMACU 2.0.
Selaras dengan aspirasi perluasan penggunaan AI dalam sektor awam, YB Menteri turut menyarankan agar MOSTI mengaplikasikan teknologi ini dalam urusan pentadbiran harian bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian bersempena sambutan Tahun Baharu Cina termasuk aktiviti penggaulan Yee Sang, kaligrafi Cina serta persembahan tarian singa yang menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga MOSTI.
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ruziah binti Hj Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi); YBrs. Encik Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOSTI serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi dan warga MOSTI.




