Skip to main content
News

Lawatan Turun Padang KSU MOSTI ke Pomen Autodata Sdn. Bhd., Shah Alam

4 Mac 2026, Shah Alam – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan turun padang ke Pomen Autodata Sdn. Bhd. yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara langsung pelaksanaan serta kemajuan projek yang dibiayai melalui Program Pembiayaan Geran CIP Sprint. Program ini merupakan inisiatif yang menyokong syarikat pemula berasaskan teknologi dalam usaha mengkomersialkan produk dan penyelesaian teknologi tempatan. Selain pembiayaan, penerima geran turut menerima latihan serta bimbingan perniagaan bagi memperkukuh pembangunan syarikat dan meningkatkan daya saing di pasaran.
Syarikat Pomen Autodata Sdn. Bhd. merupakan antara penerima geran di bawah program tersebut dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM500,000. Melalui pembiayaan ini, syarikat telah membangunkan platform pengurusan aset dan bengkel kenderaan yang dikenali sebagai ENGARAGE. Sehingga kini, platform tersebut telah dimanfaatkan oleh lebih daripada 3,000 bengkel kenderaan termasuk syarikat seperti EON Berhad, Petronas dan lain-lain.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 85 syarikat telah menerima pembiayaan di bawah Program Pembiayaan Geran CIP Sprint dengan laporan menunjukkan peningkatan pendapatan syarikat sebanyak 126%, mencecah nilai keseluruhan RM28.8 juta. Selain dari Geran CIP Sprint, Syarikat POMEN turut telah menerima pelaburan dari VentureTECH berjumlah RM5 juta pada tahun 2024 (Dana Pelaburan Strategik VentureTECH) untuk tujuan pengembangan perniagaan tempatan dan serantau dan pembangunan produk.
Lawatan kerja ini turut dihadiri oleh Encik Eizzar Supiar, Penolong Naib Presiden Penilaian Geran, Cradle Fund Sdn. Bhd.; Encik Asrul Hadi Azizan, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) VentureTech; Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI; serta pegawai daripada Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Skip to content