Skip to main content
News

Mesyuarat MEXCO-STI Bil 1 2026

7 Mei 2026, Pulau Pinang – Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Yang Bertanggungjawab Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) yang pertama bagi tahun ini di Pulau Pinang.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan turut dihadiri oleh EXCO serta wakil Kerajaan Negeri. Mesyuarat ini menekankan kepentingan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
MEXCO-STI menjadi platform penting bagi memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan hala tuju STI negara. Selain sesi mesyuarat ini, MOSTI turut mengadakan kunjungan hormat dan sesi libat urus bersama Ahli MEXCO-STI bagi berkongsi fokus inisiatif 2026 serta mengenal pasti potensi bidang STI di peringkat negeri, selaras dengan dapatan Indeks Inovasi Malaysia (MII).
Antara penekanan utama adalah pengukuhan STI dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), penerokaan teknologi baharu seperti angkasa dan industri nadir bumi (REE), serta penyelarasan pelaksanaan program inovasi melalui agensi-agensi MOSTI termasuk MIMOS, Cradle dan MIGHT.
MOSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, khususnya kepada YB Tuan Jagdeep Singh Deo Karpal Singh, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Negeri Pulau Pinang, atas kesudian menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kali ini.
Skip to content