Pada 28 Februari 2019, bertempat di Dewan MESTECC, Blok C7, Kompleks C, Putrajaya telah berlangsung Majlis Perhimpunan Bulanan MESTECC Februari 2019 bersama YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Hj. Yahaya, Ketua Setiausaha MESTECC. Majlis kali ini diurusetiakan oleh Bahagian Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (BPASPI).
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) dan YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar berkongsi beberapa perkara penting da perkembangan terkini Kementerian dengan semua warga MESTECC yang hadir, antaranya ialah:
- Lanjutan daripada pelancaran 73 Inisiatif MESTECC 2019: Kuasai. Laksana. Ungguli. (Own It. Do It. Ace It.) pada 28 Januari 2019 oleh YB Puan Yeo Bee Yin, Menteri MESTECC, semua Warga MESTECC adalah diseru untuk memahami dan menjiwai inisiatif yang telah dirangka serta bersatu untuk mencapai hala tuju dan perancangan strategik Kementerian.
- Penghargaan kepada pihak NNC kerana telah berjaya memperoleh satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu pingat merit melalui tiga projek inovasi yang telah dibangunkan oleh kumpulan pegawai penyelidik di NNC dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 pada 21 hingga 23 Februari 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
- Dengan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) yang bermula pada 1 Mac 2019, semua warga diharap dapat merancang waktu bekerja masing-masing dengan lebih efisyen.
- Semua Warga MESTECC perlu mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya terhadap Arahan Pentadbiran Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai Panduan Pengurusan Surat Rasmi dan E-mel MESTECC yang telah dikuatkuasakan 25 Februari 2019 bagi memastikan pengurusan surat rasmi dan e-mel mengikut tatacara yang betul, tepat dan seragam.
- Pemakluman gelaran jawatan baharu ketiga-tiga Timbalan Ketua Setiausaha MESTECC, seperti yang berikut:
- YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), TKSU (T);
- YBrs. Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), TKSU (S); dan
- YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), TKSU (AS).
- Sumbangan dan aktiviti Kelab Kementerian (KEMSAINS) perlu ditambah baik dan diuruskan dengan lebih efisien.
Selepas ucapannya, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar turut menyampaikan sijil dan pingat kepada tiga orang pegawai NNC yang telah berjaya dalam MTE 2019.