17 Jun 2025, Indonesia – YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI yang juga merupakan Focal Point Malaysia bagi Board of Advisers to ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (BAC) telah menghadiri Mesyuarat Ke-18 Board of Advisers (BAC-18). BAC-18 merupakan antara salah satu mesyuarat yang diadakan bersempena dengan penganjuran 21st ASEAN Ministerial Meeting on Science, Technology and Innovation, 87th ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-87) and Related Meetings yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 16 hingga 20 Jun 2025.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa; Puan Siti Salmiah binti Haji Dimyati, Timbalan Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D dan En. Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. Ahli mesyuarat BAC terdiri daripada pakar-pakar dan penggubal dasar yang dapat memberi nasihat dan pandangan berkaitan hala tuju strategik agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ASEAN. Mesyuarat ini juga melihat kepada semakan program dan projek-projek sedia ada, penilaian syor dasar utama, serta penerokaan peluang baharu untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi di seluruh rantau ASEAN.
Malaysia telah membentangkan perkembangan terkini serta hasil Mesyuarat 54th Meeting of the Sub-Committee on Biotechnology (SCB) yang dipengerusikan oleh Malaysia pada tahun ini. Selain itu, Malaysia turut membentangkan progress terkini berkaitan inisiatif PED 2025 ASEAN Technology Startup Ignite yang diterajui oleh Malaysia melalui Cradle Fund Sdn. sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. PED ini bermatlamat untuk meningkatkan inovasi dan keusahawanan berasaskan sains dan teknologi di rantau ASEAN dengan menggiatkan pertumbuhan dan kelestarian syarikat pemula melalui akses kepada program pembinaan kapasiti, khidmat nasihat perniagaan, pementoran dan peluang kolaborasi serantau. Pembangunan ASEAN Startup Portal juga merupakan salah satu inisiatif di bawah ASEAN Startup Initiative yang juga merupakan Annual Priority (AP) yang telah dipersetujui dan dipenuhi dalam tahun 2024.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman turut mengetengahkan cadangan Malaysia untuk menubuhkan ASEAN Space Council yang bertujuan memperkukuh keupayaan kolektif angkasa dalam kalangan AMS menerusi perkongsian pengetahuan, galakan inovasi dan pertumbuhan inklusif. ASEAN Space Council yang dicadangkan ini akan menyatukan pelbagai inisiatif berkaitan angkasa lepas di bawah ASEAN, membolehkan pengumpulan sumber serta perkongsian risiko bagi menggandakan impak serantau secara signifikan. Malaysia menekankan kepentingan saling memperkasa antara Negara Anggota ASEAN dan menggesa supaya rantau ini terus mara bersama ke arah masa depan angkasa yang lebih cerah dan berani.
Selain itu, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman turut memaklumkan mesyuarat bahawa National Innovation and Commercialisation Expo (NICE 2025) akan diadakan pada 6-9 Oktober 2025 di Kuala Lumpur serta akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Beliau telah menjemput semua AMS untuk turut serta dan memeriahkan Ekpo ini. Di samping itu, Malaysia juga telah menyumbang input dan menyatakan pandangan berkaitan perkara-perkara yang telah dibincangkan, terutamanya berkaitan draf Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi 2026–2035 (APASTI 2026–2035) yang dijangka akan mendapat kelulusan semasa Mesyuarat AMMSTI-21 pada minggu ini.