17-21 September 2025, China – 22th China-ASEAN Technology Transfer Expo (CAEXPO) 2025 adalah pameran perdagangan antarabangsa tahunan yang diadakan di Nanning, Guangxi, China. Ia merupakan platform utama yang memacu kerjasama ekonomi dan pemindahan teknologi antara China dan negara-negara ASEAN.
Fokus utama pameran ini meliputi peralihan teknologi & inovasi, sektor pertanian, pembuatan, elektronik dan pelancongan. Edisi 2025 memberi tumpuan kepada teknologi hijau & rendah karbon, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan pintar, teknologi laut biru serta angkasa.
CAEXPO 2025 dirasmikan oleh Naib Presiden China, Han Zheng. Delegasi rasmi Malaysia diketuai YAB Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA. Kehadiran beliau menegaskan komitmen Malaysia dalam hubungan dua hala dengan China, selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Turut hadir, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut disertai syarikat permulaan Malaysia bagi mempamerkan inovasi tempatan serta mewujudkan peluang padanan perniagaan, khususnya dalam sektor teknologi hijau dan AI.
Secara keseluruhan, CAEXPO 2025 merupakan platform strategik yang memperkukuh integrasi serantau dan kerjasama teknologi, di samping menekankan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam kerjasama ASEAN-China.