Skip to main content
News

50 TAHUN NUKLEAR MALAYSIA: MENERAJUI SAINS DAN TEKNOLOGI NUKLEAR NEGARA

19 September 2022, Bangi – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, hari ini merasmikan Sambutan Jubli Emas Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia). Nuklear Malaysia merupakan agensi di bawah MOSTI yang menerajui sains dan teknologi nuklear negara serta berperanan melaksanakan R&D&C&I dan memberi khidmat latihan serta sokongan dalam bidang teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia juga menyelaras hal ehwal nuklear kebangsaan dan antarabangsa sebagai agensi penghubung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear. Kepakaran dalam bidang teknologi nuklear ini meliputi pelbagai sektor antaranya pertanian, perubatan, aplikasi teknologi nuklear, industri, pembuatan dan alam sekitar. Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, pengiktirafan yang diperoleh oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini adalah bukti dedikasi warga kerja yang sentiasa berusaha memartabatkan sains dan teknologi nuklear.

“Pada Sambutan Jubli Emas Nuklear Malaysia hari ini, saya menyeru agar Nuklear Malaysia terus proaktif mengadakan program-program kesedaran bagi menghakis persepsi bahawa teknologi nuklear adalah bahaya. Jelaskanlah kepada Keluarga Malaysia dengan bahasa mudah difahami tentang kelebihan teknologi nuklear yang digunakan secara selamat, serta manfaatnya kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Nuklear Malaysia telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memperkenal dan mempromosikan sains dan teknologi nuklear kepada masyarakat, sekali gus menyemai minat serta menyedarkan orang awam akan kepentingan teknologi nuklear dalam kehidupan.

Antaranya, Nuklear Malaysia komited dalam menjalankan aktiviti penerimaan awam secara berterusan sejak tahun 1980-an sehingga kini. Pelbagai aktiviti telah dijalankan mengikut sasaran audien dengan menggunakan pendekatan turun padang seperti penganjuran program pameran produk nuklear untuk mempromosikan Nuklear Malaysia sekali gus memperkenalkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.

Pendedahan awal terhadap STI dan pembelajaran secara formal sangat penting untuk memperkenalkan STI kepada generasi muda. Oleh itu, Nuklear Malaysia sentiasa bekerjasama dan menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menambahbaik kurikulum subjek sains dan fizik, terutama yang melibatkan topik berkaitan pendidikan nuklear.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menjelaskan bahawa penggubalan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) kini berada dalam fasa terakhir untuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Inisiatif yang bertujuan untuk memperkasa ekosistem teknologi nuklear negara ini menunjukkan komitmen berterusan MOSTI dan Nuklear Malaysia untuk memacu Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi pada masa hadapan.

Katanya, “DTNN akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kemajuan dan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia. Dengan adanya dasar ini, segala usaha yang dilaksanakan akan memberikan impak dan nilai yang berharga dalam pembangunan teknologi nuklear di Malaysia.”

Sempena dengan sambutan ke-50 tahunnya, Nuklear Malaysia telah menganjurkan beberapa program dan antara yang dibuka untuk orang ramai adalah ‘Program Pameran Produk dan Khidmat’ bermula 5 September hingga 5 Oktober 2022. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir dan melihat sendiri produk dan khidmat teknologi yang terdapat di Nuklear Malaysia.

 

           

           

Skip to content