Skip to main content
News

Pertandingan Video Pendek Kelestarian Angkasa Bertemakan Lindungi Alam Semesta

12 April 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Planetarium Negara dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) akan menganjurkan Pertandingan Video Pendek Kelestarian Angkasa bertemakan Lindungi Alam Semesta bermula 12 April hingga 31 Ogos 2022 bersempena dengan Minggu Angkasa Sedunia 2022 (WSW 2022).

Program diadakan bertujuan untuk menarik minat seluruh Keluarga Malaysia mendalami serta memperkukuh kefahaman tentang sains angkasa menerusi penghasilan video-video pendek serta tayangannya kepada umum. Pertandingan ini merupakan Inisiatif Inovasi Seni Angkasa sebahagian daripada inisiatif Planetarium Negara yang juga merupakan satu program pembudayaan dan pemerkasaan bakat sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang baharu.

Tema Lindungi Alam Semesta kali ini dipilih berdasarkan topik dan isu angkasa lepas yang sedang hangat dibincangkan di peringkat Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara isu-isu tersebut adalah kesesakan satelit di orbit, pencemaran angkasa lepas, pengurusan keselamatan pengoperasian angkasa, perlindungan planet/bulan daripada tercemar kesan penerokaan manusia dan sebagainya. Tema ini juga selari dengan dua (2) inisiatif utama pelan antarabangsa PBB Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030) iaitu Quality Education dan Climate Action. SDG 2030 adalah komitmen global ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif serta telah dijadikan teras utama pembangunan negara.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu Kategori Sekolah Menengah dan Kategori Pra-Universiti serta Institut Pengajian Tinggi. Setiap kategori memerlukan para peserta menyediakan persembahan video pendek berdurasi 3 hingga 5 minit dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Para pemenang berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM16,000.00 berserta sijil penyertaan. Majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober 2022 bertempat di Planetarium Negara bersempena WSW 2022 dan sambutan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022.

Pertandingan Video Pendek Kelestarian Angkasa telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Zainudin bin Aman, Setiausaha Tetap KSTI yang mewakili YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. Hadir sama YBrs. Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI dan YBrs. Puan Hajah Anita Haji Bahari, Pengarah Planetarium Negara.

Maklumat lanjut berkaitan terma dan syarat pertandingan boleh didapati menerusi laman web www.planetariumnegara.gov.my atau e-mel ke info@planet.gov.my.

 

Skip to content