27 Mei 2025, Kuala Lumpur – Sebuah buku ilmiah bertajuk “Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan” telah dilancarkan hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut dihadiri oleh Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia.
Penerbitan buku ini merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman disamping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan Pembangunan negara. Usaha ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara.
Buku ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan. Teknologi ini telah diterapkan di Malaysia lebih daripada tiga dekad lalu dan berjaya menghasilkan pelbagai tanaman baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri florikultur tempatan.
Buku ini disasarkan kepada penyelidik, pensyarah, pelajar universiti dan juga pelajar sekolah menengah sebagai sumber rujukan dan pendedahan awal terhadap manfaat teknologi nuklear secara aman dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dan ekonomi negara.