04 November 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hadir ke program ASEAN–Korea AI Youth Festa 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Program anjuran Korea–ASEAN Digital Innovation Flagship Project (KADIF) dengan sokongan ASEAN–Korea Cooperation Fund ini menghimpunkan bakat muda, inovator dan rakan strategik dari seluruh ASEAN dan Republik Korea.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa inovasi perlu berteraskan manusia, dengan matlamat untuk memperkasa dan menyatukan masyarakat. Beliau menegaskan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan untuk memastikan penerapan teknologi kekal inklusif, bertanggungjawab serta selaras dengan keutamaan negara ke arah pembangunan mampan dan berpusatkan rakyat.
Tambahnya lagi, menerusi ASEAN Startup Initiative (ASI) yang diterajui oleh Cradle di bawah MOSTI, kerajaan sedang membina asas ekosistem inovasi serantau yang menggalakkan kerjasama rentas sempadan serta menyokong generasi baharu syarikat pemula untuk berkembang melangkaui pasaran domestik.
Turut hadir, YBrs. Encik Park Yun Kyu, Presiden, Agensi Promosi Industri IT Kebangsaan (NIPA), TYT Yeo Seung Bae, Duta Besar, Kedutaan Republik Korea di Malaysia, YBrs. Puan Norsham Binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Encik Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle dan YBrs. Dr Zurina Moktar, Ketua Bahagian Sains dan Teknologi, Sekretariat ASEAN serta peserta yang terlibat.





