Skip to main content
News

ASEAN Lancar Laporan Daya Jangka Bentuk Masa Depan STI Serantau

24 Oktober 2025, Kuala Lumpur – ASEAN hari ini melakar satu detik bersejarah dalam usaha merangka masa depannya secara kolektif dengan pelancaran laporan “ASEAN Ahead: ASEAN Science, Technology, and Innovation (STI) Ecosystem Foresight 2035 and Beyond” (ASEAN Ahead).

Pelancaran laporan ini diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri yang mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Tuan Chang Lih Kang serta Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc.
Laporan ASEAN Ahead dibangunkan di bawah kepimpinan ASEAN Foresight Alliance dan diterajui oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Ia merupakan pelan strategik berimpak tinggi yang bertujuan memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai kuasa besar global berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Laporan ini telah diluluskan oleh Menteri dan Jawatankuasa ASEAN pada Jun 2024 di Siem Reap, Kemboja dan telah diiktiraf secara rasmi sebagai tunjang kepada ASEAN Plan of Action on STI (APASTI) 2026–2035.
Sebagai latihan daya jangka serantau pertama seumpamanya, ASEAN Ahead direka bagi melengkapkan ASEAN dengan strategi berpandangan jauh dan berdaya masa hadapan untuk menghadapi perubahan global yang pesat serta cabaran teknologi yang semakin kompleks.
Turut hadir sama ialah YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs Puan Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains, YBrs. Puan Norsham bt Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia serta para jemputan Majlis Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan Pusat Kecemerlangan ASEAN dalam Peralihan Hijau.
Skip to content