Skip to main content
News

Bioinnovation Launchpad 2025 Atasi Cabaran Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Universiti Tempatan

09 Oktober 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah melancarkan BioInnovation Launchpad 2025, sebuah program pembangunan usahawan bio yang bertujuan menangani cabaran pengkomersialan inovasi negara, khususnya dalam industri berasaskan bio dan bioteknologi. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam bin Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Puan Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. En Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation, YBrs TS. Haji Mohammad Hazani Bin Hj Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bioeconomy Corporation, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan dan Swasta serta tetamu jemputan.

Menurut YB Menteri, antara cabaran utama yang dihadapi ialah kadar pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di Malaysia yang masih rendah, dengan kurang daripada 10 peratus berjaya dikomersialkan menurut kajian tahun 2025 oleh Universiti Putra Malaysia (UPM). Perkara ini berpunca daripada kekurangan dana, kemahiran keusahawanan serta bimbingan berterusan.
Dengan pelancaran BioInnovation Launchpad 2025 yang dikendalikan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) ini, ianya adalah unik kerana ia menawarkan sokongan menyeluruh dan berpanjangan serta berbeza dengan program keusahawanan lain yang lazimnya hanya menyediakan bantuan jangka pendek,” jelasnya lagi.
Buat permulaan, seramai 10 peserta daripada universiti, syarikat pemula (start-up) dan syarikat spin-off telah dipilih menyertai program ini, dengan 10 produk bio-inovasi berpotensi pasaran keseluruhan bernilai RM13 juta. Produk-produk ini bukan sahaja bersedia untuk dikomersialkan dan menerima pelaburan, malah membawa penyelesaian berimpak tinggi dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan, bioteknologi pertanian dan keterjaminan makanan, makanan berasaskan bio, serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.
Program ini turut menampilkan BioXCeed 2025, iaitu gabungan dua platform inovasi hasil kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). Kolaborasi ini mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua organisasi untuk melangkaui batasan inovasi, seiring dengan matlamat National Innovation and Creativity Expo (NICE) 2025 dalam melahirkan penyelesaian praktikal yang mampu membawa produk dan teknologi tempatan ke arah pengkomersialan serta menembusi pasaran global.
Skip to content