11 November 2023, Kuala Lumpur – Business Supercharge Startups 2.0 (BSP 2.0) – Turbocharging Startups anjuran Junior Chamber International (JCI) Malaysia telah diadakan pada 11 November 2023 di Asia School of Business, Kuala Lumpur. Program ini adalah bertujuan bagi mempertingkat dan mengembangkan syarikat startup serta melengkapkan usahawan muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan supaya berdaya saing dalam landskap perniagaan yang kompetitif.
BSP 2.0 – Turbocharging Startups melibatkan panel dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi kerajaan dan pihak swasta termasuk Cradle Fund, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Alliance Bank, Gobi Partners, Growth Achievers, MEDICOS Group, pitchIN, Penguin dan Ticket2U.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) telah dijemput untuk berkongsi Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 yang diterajui oleh MOSTI dalam mengukuhkan pembangunan ekosistem startup tempatan.
Peserta-peserta program ini terdiri daripada startup, usahawan muda, pelajar universiti dan pihak berkepentingan yang lain.
MOSTI komited untuk memerkasakan ekosistem startup melalui 5 pemacu ekosistem dan 16 intervensi yang digariskan di bawah SUPER 2021-2030. Melalui pelan hala tuju ini, pelbagai inisiatif dan program telah dirangka dan dilaksanakan bagi mengetengahkan keperluan startup.
Pelaksanaan SUPER 2021-2030 adalah merentasi Kementerian dan agensi Kerajaan dan bukan dalam silo bagi memastikan Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk berada di tangga 20 teratas dalam Ekosistem Startup Dunia menjelang 2030.