Skip to main content
News

Cradle Live! Startup ASEAN Summit 2025 Satukan Rantau untuk Memacu Inovasi dan Keusahawan

05 November 2025, Kuala Lumpur – Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan aspirasi baharu untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memacu ekosistem inovasi dan startup ASEAN ke tahap yang lebih tinggi. Bertemakan “Scaling Startups Beyond Borders”, persidangan ini merupakan persidangan teknologi startup ASEAN pertama di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan turut disenaraikan sebagai antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) negara.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut dihadiri oleh TYT Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Encik Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, YBrs. Encik Kelle Kam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank serta tetamu jemputan.
Program ini turut mencatat dua (2) pencapaian penting iaitu pelancaran Impact Innovation Lab, hasil kerjasama Cradle, Alliance Bank dan Universiti Monash Malaysia untuk menyokong startup berasaskan impak yang menangani cabaran sosial, alam sekitar dan ekonomi dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle dan Kumpulan Sunway bagi memperkukuh perkongsian awam-swasta dalam memupuk startup.
Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) dengan sokongan Alliance Bank selaku Penaja Utama, acara selama tiga hari ini berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari seluruh ASEAN dan dunia termasuk wakil kerajaan, pelabur, pembangun ekosistem serta pengasas startup dalam usaha memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab inovasi global.
MOSTI dan Cradle akan terus memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi, pelaburan dan mobiliti bakat bagi memastikan tiada negara atau inovator yang tertinggal, selaras dengan aspirasi menjadikan Startup ASEAN sebagai satu gerakan serantau yang mampan dan berimpak tinggi.
Skip to content